Sunday, August 14, 2016

Prolog

Hujan di waktu malam menyelubungi kotaraya Kuala Lumpur yang tersergam indah dengan cahaya bangunan pencakar langit sedia ada. Sinaran cahaya bulan purnama hilang begitu sahaja diganti dengan awan gelap di malam ini.

Titisan air hujan yang sejuk dan deras membasahi setiap permukaan bumi di kota raya Kuala Lumpur di penghujung tarikh tahun 2013. Esoknya adalah tarikh baru untuk tahun yang baru, dan juga satu permulaan hidup yang baru jua untuknya.

Kerjaya sebagai seorang anggota polis yang kini berjawatan inspektor bagi cawangan IPD Ampang Jaya sedikit sebanyak merubah kehidupannya kini. Syukur juga ke hadrat Ilahi kerana selama menjadi seorang anggota polis, tiada sebarang kecelakaan yang menimpanya walaupun tugasnya yang mencabar di samping pernah berbalas tembak bersama penjenayah baru-baru ini.

Berbekalkan pengalaman dan kebijaksanaan untuk mengumpan penjenayah itu dalam satu serbuan operasi khas yang diketuainya, penjenayah yang dikenali sebagai Mat Botak berjaya ditumpaskan tanpa sesiapa pun menjadi mangsa kehilangan nyawa. Hanya kecederaan kecil sahaja yang dialami Mat Botak ketika berbalas tembakan dengannya sahaja.

Kejayaan membanteras kegiatan jenayah Mat Botak dan keseluruhan gengnya telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dan juga perdagangan manusia. Namun pengalaman yang sedia ada tidak mungkin dapat menyediakan dirinya dalam menempuhi satu perjuangan baru yang bakal ditempuh pada bulan Mac 2013.

Tarikh istimewa yang bakal menggelarkannya sebagai seorang suami kepada bakal isterinya yang amat jelita. Seorang gadis yang dikenalinya semenjak di zaman persekolahan lagi. Yang sentiasa bersama di waktu susah dan senang. Yang menjadi tunangnya semenjak tamatnya pelajaran universiti 7 tahun yang lepas.

Di sebalik kegembiraan yang bakal dialaminya, terselit jua kesedihan yang tidak dapat dielakkan setelah sekian lama ini. Semenjak dari kecilnya, dia hanya bertemankan seorang wanita tua yang dipanggil nenek yang bersusah payah mengasuhnya dari kecil hinggalah dia bergelar konstable polis.

Nenek yang disayanginya itu telah lama meninggalkannya sejak jatuh sakit akibat penyakit strok yang secara tiba tiba menyerangnya tika dia sedang bertugas malam. Malah sehari selepas itu, dia menerima sepucuk surat yang ditulis sendiri oleh neneknya... seperti ianya sudah dirancang terlebih dahulu. Awalnya, dia menganggap surat tersebut sebagai surat wasiat namun lain pula isi kandungannya.

Sehingga kini dia masih lagi kurang memahami isi kandungan surat itu. Malah dia tidak pernah diberitahu siapakah kedua ibu bapanya dan apa yang telah terjadi kepada mereka. Setiap kali dia cuba bertanyakan soalan ini, neneknya akan bertukar topik dan akan menanyakan soalan yang lain pula padanya. Dia terpaksa mengalah kerana cuba menjaga hati dan perasaan neneknya itu.

Hujan masih lagi menitis tanpa henti-henti bertemankan cahaya kilat yang memancar. Cahaya yang berbentuk seakan-akan sebilah pedang yang dihunuskan ke arah penjahat yang cuba meragut keamanan yang sedia ada.

Dia mengeluh kecil sambil menekup mukanya dengan tapak tangan kanannya. Dahinya rasa basah, peluh, seperti baru bermandikan air mandi yang sejuk. Otaknya sedang ligat memproses suatu maklumat yang tidak difahami logik akalnya.

Mimpi yang cukup menakutkan, malah ianya lebih nyata seperti benar-benar sedang berlaku padanya... Percikan darah di atas langit, malah kejatuhannya dari tingkat 50 bangunan yang tersergam indah dan dibanggai orang ramai, KLCC.